Friday, November 25, 2011

info : berita untuk warga balok,kuantan


KUANTAN: Masalah hakisan tebing di Sungai Balok berhampiran jeti nelayan di Kampung Balok Pantai, di sini, bakal ditangani dengan pembinaan benteng penghalang hakisan yang akan siap menjelang hujung tahun ini.

Ia dibina atas inisiatif MTBE Malaysia Sdn Bhd (MTBE), anak syarikat milik penuh Petronas Chemical Group (PCG) yang prihatin dengan masalah dihadapi penduduk kampung berkenaan.
Pembinaan benteng sepanjang 50 meter itu adalah antara inisiatif syarikat terbabit dalam memelihara sungai berkenaan melalui program Inisiatif Alam Sekitar Sungai Balok (BREI) yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Balok Pantai, Mohd Zainon Ali, berkata projek yang dilaksanakan MTBE itu banyak memberi manfaat kepada 120 nelayan di kawasan berkenaan.

"Tebing sungai terbabit mengalami hakisan terutama ketika musim tengkujuh dan ia dikhuatiri bertambah buruk sehingga menjejaskan keselamatan penduduk terutama nelayan sekiranya tidak ditangani segera.


"Pembinaan benteng itu secara tidak langsung mengurangkan kebimbangan mereka, selain memberi kemudahan kepada semua melalui projek yang sudah dilaksanakan pihak terbabit di kawasan ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Nelayan, Mansor Mokhtar, 42, berkata langkah terbabit adalah usaha murni syarikat berkenaan kerana sebelum ini penduduk di kawasan berkenaan, terutama nelayan sering menghadapi masalah hakisan tebing sehingga menyebabkan air sungai semakin cetek.

"Menerusi pembinaan benteng itu memudahkan nelayan keluar menangkap ikan dan pada masa sama memulihara sungai yang menjadi nadi utama kepada sebahagian besar penduduk," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MTBE, Muhammad Farid Ngah, berkata projek pembinaan benteng itu akan memberi manfaat kepada penduduk dari segi pengurusan banjir dan hakisan tebing sungai khususnya pada musim tengkujuh.


"Setakat ini, kita hanya membina benteng penghalang hakisan sepanjang 50 meter dengan menyambung benteng sedia ada, namun akan membina benteng lebih panjang jika keadaan memerlukan," katanya selepas merasmikan projek terbabit pada Program Penjagaan Air di kampung berkenaan, di sini, kelmarin.


Beliau berkata, benteng penghalang hakisan itu ditempah khas serta diperbuat daripada bahan yang lebih kukuh dan sesuai dengan keadaan air masin di sungai berkenaan supaya ia lebih lasak dan tahan lama.


"Sebelum ini, kita turut melaksanakan projek menambak sebahagian kawasan muara sungai berkenaan yang berhampiran jeti nelayan bagi mengelak hakisan tebing berterusan, selain memberi kemudahan kepada penduduk kampung berkenaan," katanya


sumber :
http://www.bharian.com.my

No comments: